Tuesday, April 5, 2011

"Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya"

Salam.. setelah sekian lama tidak menulis di sini, topik yang ingin saya utarakan kali ini adalah "Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya." Pastinya peribahasa ini telah biasa disebut dalam masyarakat melayu yang penuh adatnya. Peribahasa ini sangat sinonim dengan didikan kepada anak-anak. Namun, bagaimanakah corak didikan anak-anak kini? mengapa tahap sosial anak remaja makin menjadi-jadi?

Kebanyakan rintihan ibu bapa kini adalah anak-anak tidak mendengar kata, lebih mendengar cakap kawan dari keluarga, terlalu sosial dan banyak lagi. Mengapa ini semua berlaku? Bahkan pabila ibu bapa menegur pasti anak-anak ini mula angkat kaki, lari rumah. Bagi saya penyelesaian bagi masalah ini adalah"Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya".

Dahulu, dari kecil lagi ibu bapa akan terus memarahi, menghukum atau merotan anak-anak sekiranya membuat kesalahan. Tapi bukan mendera. Anak-anak yang sudah biasa ditegur sejak kecil selalunya tidak akan membuat kesalahan semasa dewasa kerana telah dididik dari awal untuk tidak melakukannya. Ibu bapa memarahi anak-anak sewaktu kecil, dan apabila mencecah remaja, ibu bapa memberi kepercayaan kepada anak-anak kerana yakin anak-anak tidak akan melakukan kesalahan setelah dididik sejak kecil.

Tapi kini, dari kecil lagi anak-anak telah dimanjakan terutama dengan kemewahan. Sekiranya anak-anak membuat kesalahan tidak kira kecil atau besar, ibu bapa akan terus menyalahkan orang lain dan membela atau menutup kesalahan anak-anak. Namun, apabila telah remaja dan anak-anak membuat kesilapan yang melampau, ibu bapa mula memarahi anak-anak. Perhatikan, anak-anak yang tidak pernah dimarahi sejak berbelas tahun dan tiba-tiba dimarahi pastinya akan merajuk, melenting, dan lari rumah.

Jelas kelihatan perbezaan marah sewaktu kecil, percaya waktu dewasa yang melahirkan anak yang sedar, boleh menerima teguran dan tak akan melakukan kesalahan berbanding dimanjakan sewaktu kecil, marah waktu dewasa yang menjadikan anak-anak yang melenting setiap kali ditegur. Betapa peribahasa melayu "Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya"memberi erti dan pedoman terhadap anak-anak kita.

Ingatlah selalu ibu bapa di luar sana. Ingatlah "Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya". Marahlah, Tegurlah, Hukumlah anak-anak di masa kecil supaya kelak mereka tahu yang mana hak dan batil. Janganlah dibiar anak-anak melakukan kesalahan dengan menutup kesalahan mereka kerna gusar dewasa nanti mereka tidak dapat membezakan mana benar mana salah.