Wednesday, June 9, 2010

"Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh"


Hari ini saya ingin mengupas tentang peribahasa warisan melayu iaitu "Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh". Peribahasa ini menggunakan ayat yang sungguh mudah untuk difahami. Melayu ini cukup terkenal dengan puitis dan sikap sentimentalnya. Tetapi apa yang menghairankan bait-bait peribahasa yang sungguh mudah ini seolah-olah tidak difahami oleh masyarakat melayu kini. Samada mereka tidak memahami atau mereka lupa tentang peribahasa ini. Biasalah, orang kata "Melayu mudah lupa".

Seperti yang kita lihat dengan pergolakan yang berlaku dalam dunia politik di Malaysia kini, anak melayu kini lebih suka bermegah-megah dengan kehebatan diri dan mencari-cari alasan yang kukuh untuk menjatuhkan anak melayu yang lain. Saya cukup sedih apabila melihat pemimpin melayu begitu sibuk berbalah antara satu sama lain mencari kesalahan sesama sendiri. Mereka seolah-olah memperjuangkan diri mereka sendiri, kata-kata mereka dan parti politik mereka. Tetapi bukannya memikirkan tentang negara.

Dalam kesibukan, saya seringkali tertanya-tanya mengapa tidak pemimpin-pemimpin melayu yang hebat di Malaysia ini mencuba untuk membuang segala keegoan,perselisihan, dendam dan sebagainya lantas duduk semeja untuk membincangkan hal negara? Jika kita duduk di tengah-tengah dan lihat seorang demi seorang pemimpin-pemimpin dari UMNO,PAS,PKR dan sebagainya, sebenarnya setiap dari mereka mempunyai aura, kelebihan dan kewibawaan yang tersendiri. Kelebihan mereka sebenarnya jika digabungkan akan membentuk satu gabungan pimpinan yang mantap dibawah satu asas, iaitu melayu yang secara tidak langsung menegakkan Islam. Di sebalik itu, kekuatan setiap dari mereka adalah pelengkap kepada kelemahan masing-masing.

Namun, disebabkan keegoan dan kepentingan diri, masing-masing tidak pernah memikirkan semua itu. Sebaliknya, sibuk mencari jalan untuk menjatuhkan orang lain dengan alasan " Akulah pemimpin yang selayaknya, mereka patut berundur". Sehinggakan setiap idea yang dikeluarkan akan dibantah sekeras-kerasnya tanpa usul periksa. Bayangkan betapa ruginya negara jika idea-idea bernas yang dikeluarkan ditolak mentah-mentah hanya kerana percanggahan politik?

Berbalik kepada peribahasa tadi, "Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh". Kata-kata ini jelas menunjukkan bahawa kita perlu bersatu. Analogi yang paling mudah dan selalu digunakan adalah lidi penyapu. Apabila setiap lidi itu diletakkan berasingan dan haluan yang berbeza, begitu mudah lidi itu dipatah-patahkan. Tetapi apabila lidi-lidi itu digabungkan dan mempunyai haluan yang sama, tidak boleh dipatahkan dan begitu kukuh sekali malah dapat dimanfaatkan sebaiknya.

Sama juga seperti pemimpin-pemimpin melayu sekiranya masing-masing begitu sibuk membawa haluan masing-masing, begitu mudah sekali melayu diperkotak-katikkan. Tetapi jika mereka berpadu tenaga dibawah nama melayu, melayu akan kukuh, kuat dan tidak mudah goyah sehingga menggentarkan musuh.

"Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh" Mari kita renung-renungkan bersama. Sekadar berkongsi pendapat.


No comments:

Post a Comment