Tuesday, June 15, 2010

"hangat-hangat tahi ayam" VS Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan "


Setelah beberapa hari menyepi.. Akhirnya ketiadaan eletrik di UKM ni memberi ruang untuk saya update blog kerana semua kerja tergendala.. Maka, untuk hari ini saya nak utarakan tentang peribahasa melayu iaitu " Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan ". Cukup tertarik untuk membincangkan peribahasa ini pada hari ini kerana peribahasa tu dicipta oleh orang melayu. Namun hakikatnya, orang melayu sendiri tidak mengamalkannya. Kenapa dan mengapa saya berpendapat sedemikian? Seperti yang kita tahu, orang di sekeliling kita adalah cermin pada diri kita.. Cermin yang nampak kesilapan yang kita lakukan.. Kerana diri kita sendiri tidak akan sedar kesilapan yang kita lakukan jika tiada yang menegur. Begitu juga bangsa-bangsa lain yang merupakan cermin pada kita yang beranggapan melayu ini sikapnya "hangat-hangat tahi ayam". Peribahasa yang berlawanan dengan " Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan ".

Apabila bangsa-bangsa lain berkata kita sebegitu, anak melayu mula melatah.. Berlaku pergaduhan, pertengkaran, perasaan tak puas hati dan seumpamanya. Sehinggakan bangsa lain begitu sukar untuk menawarkan pekerjaan kepada anak melayu kerana itu pemikiran mereka. Bagi mereka, melayu ini "hangat-hangat tahi ayam"dan bila ditegur, mudah melatah. Di situlah kesilapan kita sebenarnya. Kita tak pernah cuba untuk berubah. Kita selalu mendengar, orang kata, melayu ini jiwanya sentimental.. sensitif.. dan kata-kata inilah yang menjadikan melayu yang begitu sensitif, tidak boleh ditegur dan tidak bersedia untuk berubah. Orang lama mencipta peribahasa itu supaya menjadi ingatan kepada kita. Walau sebaris ayat, tapi memberi seribu makna. Silapnya, kita yang tidak pernah cuba untuk mendalaminya.

Mari kita lihat, selami satu persatu.. Orang kata kita ni "hangat-hangat tahi ayam". Mengapa? kerana tahi ayam ni hanya hangat sementara sahaja.. macam tu juga sikap melayu yang begitu bersemangat apabila terjumpa benda baru atau sesuatu berlaku.. Bagus, namun yang menjadi kepincangannya apabila semangat itu hanya sekejap, hanya pada permulaan. Ya, itu melayu. Namun, mengapa kita hendak persoalkan dan salahkan dia, dia dan dia? Mengapa tidak kita tunjuk diri sendiri? Sebaiknya, kita sama-sama melihat diri kita di cermin.. dan renungkan " Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan ". Orang dah berkata melayu itu "hangat-hangat tahi ayam". Bukan caranya untuk kita melatah, memarahi mereka kerana berfikiran sedemikian. Sikap seperti itu tidak mengubah apa-apa.

Sebaiknya, kita pertingkatkan jati diri kita, ketrampilan, kewibawaan yang akhirnya membuat mereka terdiam malah menghormati kita. Melayu suka berkata "Kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang". Kalau kita tidak bersikap begitu, masakan mereka akan melabel kita seperti itu? Maka, tidak perlu melatah, buang keegoan, renungkan, dan amalkan " Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan ". Buktikan kita sebagai anak melayu, bersungguh-sungguh apabila membuat sesuatu dari awal hingga akhir.. Melayu sikapnya sentiasa berjuang.. Berjuang tidak semestinya menghunus pedang mahupun membidik senjata.. Tapi memantapkan diri sendiri dengan ilmu, kepimpinan juga adalah perjuangan. Maka, bermula saat ini, marilah kita sama-sama berubah seperti kata-kata ini

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara merdeka




No comments:

Post a Comment